Kem 1 Malaysia PP Keramat PDF Cetak E-mail
Ditulis oleh Mohd Fauzli Ab. Latif   
Jumaat, 14 Ogos 2009 16:53



Program Kem 1Malaysia merupakan satu program perkhemahan yang melibatkan murid-murid dari pelbagai kaum, bangsa dan etnik di Malaysia. Sehubungan dengan itu Pusat Kokurikulum Kuala Lumpur dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah Keramat telah diamanahkan untuk menganjurkan Kem 1Malaysia daerah Keramat yang berlangsung di Pusat Kokurikulum Kuala Lumpur dan SMK Seri Titiwangsa pada 7 hingga 10 Ogos 2009. Sebanyak 39 buah sekolah dari daerah Keramat telah menyertai program tersebut dengan penglibatan pelajar seramai 282 orang murid tahun 4,5 dan 6.
Selama 4 hari 3 malam program berlangsung pelbagai aktiviti telah dirancang dan dijalankan. Antara aktiviti yang menarik ialah pelbagai jenis permainan rakyat dan sukan rakyat seperti permainan konda kondi, galah panjang, terompah gergasi, terompah tempurung kelapa, tuju para, boling buah kelapa dan lain-lain lagi. Untuk mendekatkan lagi murid-murid dengan budaya makanan Malaysia, murid-murid telah didedahkan dengan pelbagai masakan Malaysia seperti roti canai, maruku, kuih buah melaka, kuih kapit, lempeng pisang, popia goreng dan pelbagai jenis minuman berdasarkan ras utama di Malaysia. Di sini pelajar berpeluang mengalami sendiri bagaimana sesuatu masakan itu dibuat dan berpeluang merasa hasil masakan mereka sendiri sendiri. Selain daripada mengenali masakan pelbagai etnik di Malaysia, Murid-murid juga didedahkan dengan asas tarian pelbagai bangsa. Program-program lawatan ke Balai Seni Lukis Negara diadakan seiring dengan Tema 1Malaysia yang sedang berlangsung disitu. Pelajar juga dibawa melawat ke Memorial Tun Hussien Onn dan Memorial Tunku Abdul Rahmat Putra Al-Haj. Murid-murid disediakan aktiviti berbentuk kuiz dan diakhir program lawatan, penyampaian hadiah telah disampaikan oleh Pengarah Arkib Negara, Dato` Sidek Hj. Jamil.

Keseluruhannya, matlamat program untuk menyediakan murid-murid ke arah 1Malaysia perlu diteruskan dengan lebih agresif supaya matlamat untuk berkongsi dan bekerjasama dalam semua aspek kehidupan boleh diterapkan dengan lebih sempurna.
Terakhir Dikemaskini pada Jumaat, 14 Ogos 2009 17:06
 
Selasa, 07. September 2010

Design by: LernVid.com